Tahukah anda bahawa angin ahmar atau strok adalah seperti serangan jantung, tetapi ia menjejaskan saluran darah di bahagian otak dan bukan jantung.
Strok berlaku apabila saluran darah utama yang membekalkan oksigen dan nutrien ke otak pecah atau tersumbat disebabkan pembekuan darah.
Ada tiga jenis utama strok termasuk strok iskemia (strok paling biasa berlaku apabila saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutrien tersumbat).
Strok hemoragik pula berlaku apabila salah satu saluran darah di otak pecah dan berdarah, kemudian menghalang sebahagian otak daripada menerima oksigen yang mencukupi dan menyebabkan kerosakan.
Pada masa sama, strok hemoragik dikelaskan mengikut jenis darah yang menyebabkan kerosakan. Jenis paling biasa ialah aneurisme berlaku apabila arteri di otak yang melemah atau pecah.
Manakala serangan iskemia sementara (TIA) juga dikenali sebagai strok mini dan perbezaannya adalah aliran darah ke otak tersumbat tidak lebih lima minit.
Strok berlaku apabila ada bekuan darah dalam arteri karotid. Arteri karotid bertanggungjawab untuk membekalkan darah yang kaya oksigen ke otak.
Apabila arteri tersumbat dengan plak, peredaran darah yang normal terganggu dan dengan itu strok mungkin berlaku.
Strok juga mungkin berlaku apabila ada peningkatan dalam tekanan arteri akibat pecah atau kebocoran.
Pengarah Bahagian Rehabilitasi, Persatuan Kebangsaan Strok Malaysia (Nasam), T Kathiravan berkata, menurut statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, strok adalah penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.
Kata Kathiravan, dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’, strok perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Menurutnya, misi utama Nasam adalah untuk meningkatkan kesedaran bahawa strok boleh dicegah.
“Pemulihan awal dapat mengurangkan kebergantungan jangka panjang dan pesakit masih boleh menjalani kehidupan yang berkualiti selepas strok.
“Masyarakat perlu mengetahui bahawa masih ada harapan untuk hidup berkualiti selepas strok melalui rawatan pemulihan yang tepat serta cara untuk mencegah strok,” katanya pada sesi ceramah kesihatan ‘Fear Factors of Stroke- How to Overcome Them’ di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Program anjuran Care Concierge dengan kerjasama RENN Asia Wellness dan disokong Nasam itu disertai lebih 50 warga emas dan penjaga pesakit strok.
Pada program berkenaan, mereka berpeluang mempelajari cara mengurangkan faktor risiko tersembunyi strok, selain daripada faktor umum seperti kolesterol, tekanan darah tinggi, dan kandungan gula dalam darah.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Presiden Pertubuhan Perubatan Komplementari dan Alami Malaysia (FCNMAM) Datuk Sri Steve Yap serta wakil Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi dan Fungsian Malaysia.
Mereka turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara RENN Asia Wellness serta Care Concierge bagi rawatan tambahan untuk pesakit strok dan sebagainya.
Source Link Harian Metro