KUALA LUMPUR: Pusat Penjagaan Kesihatan IDEAL menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memulakan kerjasama strategik untuk mempertingkatkan perkhidmatan pemulihan geriatrik, sekali gus membina sistem kesihatan berkualiti yang mesra warga emas di negara ini.
Kolaborasi itu dijangka menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada warga emas yang memerlukan rawatan pemulihan kompleks melalui gabungan kepakaran dalam fisioterapi perubatan, rawatan di rumah dan penjagaan jururawat profesional.
Pengasas Pusat Penjagaan Kesihatan IDEAL, Dr Faizi Rosli, berkata MoU itu dimeterai itu dibuat tepat pada masanya ketika Malaysia menuju status negara tua menjelang 2030, di mana lebih 15 peratus penduduk dijangka berusia 60 tahun ke atas.
“Dalam keadaan semasa, ramai keluarga terpaksa bergelut dengan sistem penjagaan warga emas yang tidak teratur daripada segi temu janji perubatan, keperluan fisioterapi sehingga kepada penjagaan kejururawatan kerana biasanya ia dikendalikan oleh pihak yang berlainan.
“Perkhidmatan pemulihan warga emas bukan sekadar soal perubatan semata-mata kerana ia adalah gabungan rawatan klinikal, penjagaan harian dan sokongan berterusan yang perlu diselaraskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Faizi turut menambah, lazimnya pihak keluarga terpaksa menyusun sendiri pengurusan rawatan dan penjagaan harian yang akhirnya menambah tekanan emosi dan kewangan.
Sehubungan itu, katanya, gabungan Pusat Penjagaan Kesihatan IDEAL dan Care Concierge dapat memberi laluan penjagaan yang lebih mudah dan menyeluruh.
MoU terbabit dimeterai pada Majlis Rumah Terbuka Raya IDEAL yang berlangsung di cawangan utamanya di Setiawangsa, Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Care Concierge, Justin Yap yang mewakili industri penjagaan ururawat dan pengasuh profesional menyifatkan kolaborasi terbabit bukan sekadar projek perniagaan, tetapi satu keperluan untuk membina sistem penjagaan yang lebih cekap.
“Kakitangan jururawat kami memantau dan menjaga keperluan harian pesakit, manakala pasukan Pusat Penjagaan Kesihatan IDEAL memastikan proses pemulihan mereka berkembang dengan baik. Malah kami akan membentuk pelan rawatan yang holistik dan berkesan.
“Setiap warga emas berhak meniti usia mereka dengan penuh penjagaan, keselesaan dan peluang untuk kekal berdikari. Untuk itu, semua pihak perlu bekerjasama bermula daripada pasukan perubatan ke keluarga. Kerjasama ini menyatukan semua elemen itu dalam satu ekosistem yang lebih tersusun,” katanya.
Pada majlis sama, Pusat Penjagaan Kesihatan IDEAL turut menyerahkan sumbangan amal kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM).
Sumbangan itu diperoleh hasil Program Penjagaan Kanser IDEAL, di mana lima peratus daripada hasil jualan disalurkan bagi menyokong usaha memerangi kanser di negara ini.
Source Link BH Online