KUCHING: Pemaju hartanah yang memenangi anugerah, Elica Sdn Bhd (Elica) memulakan usaha mentransformasi bekas Hotel Four Points by Sheraton Kuching/Hotel Century Kuching kepada Wisma Elica.
Pembangunan semula yang bercita-cita tinggi ini akan menampilkan dua projek penting iaitu voco Kuching, yang merupakan hotel voco pertama Malaysia dengan kerjasama IHG Hotels & Resorts dan Care Collective, pusat kesihatan warga emas terbesar di Malaysia Timur menerusi kerjasama My Care Concierge Sdn Bhd (Care Concierge).
Pengarah Urusan Elica Dato Bobby Ting berkata keputusan Elica untuk membangunkan semula bangunan yang tidak aktif menjadi Wisma Elica dimaklumkan oleh kajian pasaran yang komprehensif.
Penemuan kajian itu katanya mendedahkan permintaan yang ketara untuk bilik hotel tambahan dan ruang dewan besar (ballroom) di Kuching, didorong oleh reputasi bandar raya yang semakin meningkat sebagai hab acara perniagaan dan pelancongan.
“Penemuan utama termasuk pertumbuhan pelancongan Kuching, yang menyaksikan empat juta pengunjung pada 2023, sesuai dengan peringkat prapandemik.
“Angka ini dijangka meningkat sebanyak lapan peratus setiap tahun, mewujudkan keperluan mendesak untuk lebih banyak penginapan berkualiti tinggi.
“Selain itu, defisit dalam ruang acara, khususnya tempat yang mampu menganjurkan persidangan berskala besar, perkahwinan dan pameran, mengesahkan lagi keperluan pembangunan seperti Wisma Elica.
“Dengan dewan besar utama berkapasiti 1,300 dan lebih 2,400 meter persegi ruang serba guna, projek itu akan meningkatkan dengan ketara sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) Kuching,” katanya pada majlis mengumumkan rancangan penuh Wisma Elica di sini, kelmarin (6 Januari 2025).
Hadir sama pada majlis itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.
Sebagai peneraju Wisma Elica, Ting berkata voco Kuching yang dijadualkan dibuka tahun depan, menggabungkan daya tarikan kelestarian dan reka bentuk yang cukup teliti untuk memberikan tetamu pengalaman yang luar biasa.
“voco Kuching mentakrifkan semula hospitaliti di Sarawak dengan 321 bilik mewah, kemudahan bertaraf dunia termasuk pusat kecergasan moden, kolam renang dan pilihan tempat makan yang meriah, ruang acara serta mempunyai inisiatif kelestarian sebagai sebahagian daripada prinsip terasnya,” katanya.
Ting berkata kajian Elica juga menyerlahkan anjakan demografi ketara yang memerlukan pembangunan Care Collective, usaha sama antara Elica dan pakar hidup ternama Care Concierge.
“Kami telah melakukan kajian menyeluruh mengenai penjagaan warga emas di Malaysia dan ia merupakan segmen yang amat diperlukan kerana perkhidmatan ini amat kurang pada masa ini.
“Kami memulakan usaha ini kerana penemuan kami menunjukkan dua pemacu penting utama bagi kategori ini.
“Pertama jangka hayat meningkat dan warga tua bersyukur hidup lebih lama dan kedua saiz keluarga semakin mengecil, jadi kurang anak-anak menjaga ibu bapa mereka yang sudah berusia.
“Selepas menganalisis pasaran seluruh Malaysia, kemudahan seperti itu tidak tersedia di Kuching dan kami ingin mewujudkannya di sini,” katanya.
Menurut Ting, Care Concierge, pemenang anugerah penjagaan warga emas dan operator pascahospital serta syarikat pemula teknologi dengan portfolio yang pelbagai termasuk kemudahan hidup dibantu premium, penjagaan di rumah dan di pusat jagaan harian.
“Visi mereka ialah untuk menjadi penyedia utama dalam penjagaan warga emas holistik di Malaysia dengan menyediakan penyelesaian melalui teknologi, pemikiran reka bentuk dan inovasi.
“Team Care ialah sekumpulan penjaga profesional dan pakar penjagaan yang didorong oleh rasa simpati dan mahu melakukan perubahan dalam kehidupan warga emas serta keluarga kami.
“Pasukan ini diketuai oleh ketua pegawai eksekutif mereka iaitu Martin Yap dan ketua pegawai operasi Justin Yap,” jelasnya.
Care Collective dijangka dibuka pada suku pertama 2026 di Wisma Elica dan pusat kesihatan itu akan menampilkan 92 bilik terdiri daripada Unit Kehidupan Bebas (ILU) dan Unit Kehidupan Berbantu (ALU), pusat pemulihan, rumah kelab/kemudahan penjagaan harian warga emas, program pemulihan selepas dimasukkan ke hospital dan perkhidmatan perubatan tradisional Cina (TCM).
Pusat kesihatan itu direka bentuk bagi menampung pelanggan yang pelbagai, termasuk pesara tempatan, warga emas, pesakit pascahospital, ekspatriat dan peserta dalam program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Sebagai kemudahan terbesar seumpamanya di Malaysia Timur, ia mampu menempatkan sehingga 125 penghuni.
Pengurusan Care Collective berada di bawah jagaan Care Concierge, yang menyelia sembilan kemudahan hidup dibantu dan pusat jagaan untuk warga emas di Semenanjung Malaysia.
Source Link Utusan Borneo