Care Concierge

News

Care Concierge sasar tubuh akademi pengasuh warga emas teknologi aplikasi dengan dana GDIV

April 18th, 2023
Source: Dagang News

Share this article

Oleh DIYANA ISAMUDIN
[email protected]

KUALA LUMPUR 18  APRIL – Care Concierge telah menyasarkan penggunaan dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) untuk menubuhkan akademi pengasuh dan teknologi aplikasi.

Matlamat tersebut sejajar dengan visi syarikat dalam menyediakan penyelesaian inovatif melalui teknologi dan pemikiran reka bentuk untuk muncul sebagai peneraju penyedia penjagaan warga emas holistik di Malaysia. 

Mengulas lanjut, syarikat tersebut berkata ia akan memperuntukkan dana GDIV untuk menubuhkan Akademi Care Concierge dalam usaha meningkatkan industri penjagaan warga emas bagi menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan laluan kerjaya yang jelas untuk pengasuh mahir yang profesional.

Akademi itu ditubuhkan secara perkongsian dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di mana peranan utamanya adalah untuk menyediakan latihan, pensijilan dan melengkapkan pengasuh mahir dengan kelayakan yang diperlukan untuk penjagaan berkesan yang terbaik bagi warga emas.

“Sebahagian besar dana tersebut akan digunakan untuk mengukuhkan Akademi Care Concierge, dengan pengambilan belia B40 di bawah umur 30 tahun bagi menggalakkan mereka memilih laluan kerjaya berdaya maju dan baru muncul ini,” tambah syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, aplikasi Care Concierge akan ditambah baik dengan teknologi IoT canggih yang akan menyediakan pendekatan serampang dua mata, berfungsi sebagai platform pembelajaran utama bagi pelajar dan pensyarah serta menyediakan akses dalam talian yang mudah untuk mendapatkan bahan pengajian.

(Dari kanan) Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Care Concierge, Martin Yap dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Care Concierge, Justin Yap.

Pada masa yang sama, ia juga akan menjadi platform sokongan digital utama untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan penjagaan warga emas.

“Aplikasi tersebut juga memudahkan ketelusan dalam komunikasi untuk komuniti pengasuh, pakar penjagaan lain, warga emas dan keluarga mereka, di samping menjejaki dan memantau vital serta mencatat tugasan seharian, menyediakan ringkasan penjagaan untuk ahli keluarga,” katanya.

Kini, Care Concierge menyediakan penyelesaian penjagaan kehidupan warga emas yang berkualiti, di semua enam kediaman hidup berbantu dengan lebih daripada 350 bilik di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Dengan pembiayaan tambahan yang diterima, syarikat itu merancang menyediakan 1,000 bilik tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Care Concierge, Martin Yap berkata, “Dengan kerjasama kerajaan dan institusi pengajian tinggi, Akademi Care Concierge disasarkan menyokong impak sosial dan ekonomi yang sihat dengan menyediakan penjagaan yang betul dan terbaik secara berterusan untuk warga emas.”

GDIV diuruskan oleh syarikat modal usaha niaga Pan-Asia, Gobi Partners dan disokong oleh dana kekayaan negara Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), di bawah mandat Dana Impak Khazanah yang mempunyai peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi tempoh lima tahun.

Source Link Dagang News