News


Bajet 2023: Tingkat Kebajikan Kepada Warga Emas, Buka Peluang Mereka Kembali Aktif

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 perlu menitikberatkan kebajikan warga emas termasuk memberi peluang kepada kumpulan berkenaan untuk kembali aktif dalam kegiatan sosial atau sektor pekerjaan.
 
Selain memberikan insentif, Pengurus Besar Homage Malaysia, PC Gan berpandangan dengan adanya langkah tersebut, ia dilihat mampu memastikan kesejahteraan warga emas daripada risiko menghidapi penyakit seperti Alzheimer atau dementia.
 
Jelas beliau, selaku penyedia perkhidmatan kepada warga emas, Homage mendapati berlaku peningkatan dalam kalangan warga emas yang memerlukan rawatan di rumah akibat pelbagai penyakit kronik.
 
"Dalam sebulan kita mengunjungi sekurang-kurangnya 3,000 hingga 3,500 buah rumah tetapi dementia atau alzheimer adalah 'top five' dan kebanyakannya ia (punca) mula daripada penyakit strok atau Parkinson. Saya rasa lebih kurang 20 peratus daripada pesakit kita adalah (menghidap) penyakit Alzheimer.
 
"Untuk kita memperbaiki penjagaan kesihatan warga emas, saya rasa harus mula dari puncanya iaitu sebelum mereka rasa sakit. Bayangkan warga emas di Malaysia sekarang dalam waktu lapang mereka tanpa cucu cicit, apa yang mereka akan lakukan... menonton televisyen atau duduk di rumah tanpa banyak pergerakan pada waktu lapang.
 
"Bagi badan dan minda, ia tidak beri banyak manfaat jika duduk saja tengok televisyen. Antara banyak faktor yang paling penting yang saya fikirkan adalah kita harus ada infrastruktur yang boleh mengaktifkan warga emas, kecerdasan otak dan aktiviti fizikal harus wujud," katanya kepada Astro AWANI, di sini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan perlu memudahkan cara untuk majikan-majikan membuka peluang kepada warga emas, sekurang-kurangnya sebagai pekerja sambilan berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini.
 
Mengambil contoh negara Jepun, PC Gan menambah golongan warga emas di negara itu sangat aktif dan perkara sama perlu dilakukan di negara ini memandangkan Malaysia bakal menjadi negara tua pada 2030.
 
"Banyak pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menggunakan mereka dengan pengalaman sebelum ini. Kita harus fikirkan mereka adalah orang yang profesional dan mereka pernah kerja memberikan wang kepada kita untuk pendidikan. Jadi semua itu ada pengalaman.
 
"(Bantuan) kewangan adalah satu tapi ia tidak sepenting. Saya fikir kita harus mula dengan ada pertubuhan atau banyak lagi aktiviti yang akan melibatkan warga emas, dan membuatkan mereka berasa ada fungsi dan ada maruah lagi, itu paling penting," tambahnya.
 
Pelepasan cukai
Dalam pada itu, Bajet 2023 yang dibentang pada 7 Oktober ini turut perlu mengambil kira perancangan jangka panjang terhadap penjagaan warga emas bagi mengurangkan beban kewangan.
 
Ketua Pegawai Eksekutif My Care Concierge Sdn Bhd, Martin Yap Lu Hoong berkata, pemberian subsidi atau had pelepasan cukai dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam menggalakkan penjagaan orang tua.
 
"Saya fikir bagus juga jika kerajaan sedar tentang masalah ini tetapi penting untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada ahli keluarga dan penjaga.
"Ia sesuatu yang baik untuk ahli keluarga sekiranya mereka diberikan pelepasan dari segi subsidi dan memberi keupayaan kepada ahli keluarga untuk membuat diagnosis dan penilaian (kesihatan kepada warga emas).
 
"Jika ahli keluarga keletihan, mereka memerlukan penjagaan profesional dan ini memerlukan bantuan kewangan. Selain itu, sudah tentu adalah dengan (membekalkan) pendidikan dan latihan," ujarnya.